Hadis Abu Hurairah r.a katanya Pada suatu hari, ketika
Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki
kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang
dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya
iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan,
hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan percaya kepada Hari
Kebangkitan. Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pula
yang dimaksudkan dengan Islam? Baginda bersabda: Islam ialah
mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan perkara
lain, mendirikan sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat
yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian lelaki
tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan?
Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah
seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya,
maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut
bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bilakah Hari Kiamat akan berlaku?
Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang bertanyakannya lebih
mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan ceritakan kepadamu
mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan majikannya
maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang
miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya.
Selain dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya penggembala
kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka
itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah
sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu
Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca
Surah Luqman ayat 34 إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ
وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي
نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ
تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيْمٌ خَبِيرٌ Yang bermaksud: Sesungguhnya
Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu
Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam
rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah
yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat
dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui
ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi
pengetahuan-Nya. Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ. Rasulullah
s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali.
Lalu para sahabat berkejar ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya
kembali tetapi mereka dapati lelaki tersebut telah hilang. Lantas
Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah Jibril a.s. Kedatangannya
adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka
Hadis Abu
Hurairah r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat
amalan: Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi
kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah
kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin
melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah
sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah
kebaikan itu sepuluh kali ganda.